top of page

CERITA BARANG NAIK LAGI....

  • Isma Nazom Abdul Hamid
  • Sep 26, 2017
  • 2 min read

Jika kita rajin berbelanja di pasar (pasaraya, pasar basah, pasar malam, car boot sale, tetapi tidak termasuk Bursa Malaysia yang juga merupakan sebuah pasar) kita akan dapati trend harga barang naik ini sudah menjadi kebiasaan. Pelbagai alasan akan diberikan peniaga apabila harga barang naik melambung tinggi mengalahkan roket peluru berpandu Korea Utara.


Secara ekonomi asas, harga barang naik adalah kerana permintaan melebihi penawaran. Kalau permintaan turun harga akan turun. Sepatutnya begitu. Adakah permintaan barang-barang kita menjadi sebegitu tinggi sekarang?? Atau adakah terdapat manipulasi permainan perniagaan atau taktik kotor dalam hal ini?? Habis tu kenapa harga terus naik?? Hukum alam inilah setiap yang naik akan turun, tetapi buat masa ini hukum itu belum terjadi!!


Sekali lagi cuba menulis secara ekonomi asas iaitu semakin banyak barangan dikeluarkan semakin turunlah harga barang tersebut, lambakan barangan berlebihan akan membuat harganya jatuh terperosok di atas lantai. Jadi sekarang harga barang naik bermakna barang-barang kita tidak cukup lalu permintaan jadi tinggi..Yakah? Atau ada sebab-sebab lain yang rakyat biasa takkan faham. Yang kita faham ialah sampai bila harus mengetatkan tali pinggang bagi menghadapi situasi sukar ini. Kepada siapa kita nak menyuarakan hal ini? Jangan kali ini ada yang bercakap ayam mahal jangan makan ayam, beras mahal jangan makan nasi, susu mahal suruh bayi puasa!! Mesti ada penyelesaian terhadap permasalahan ini jika mereka yang berkuasa dan terlibat di dalam membuat keputusan boleh membuat tindakan bijak, proaktif dan dinamik. Kita memiliki cerdik pandai dan ahli ekonomi yang hebat dan bijak yang tugas mereka sepatutnya bukan hanya di universiti-universiti. Gunalah mereka tetapi jangan mempergunakan mereka.


Tiba-tiba teringat ada satu benda / barang / hal yang tidak terikat dengan teori ekonomi iaitu apabila barangan banyak harga akan turun. Perkara itu ialah ilmu pengetahuan. Semakin banyak ilmu yang ada pada seseorang semakin tinggi nilai orang itu (mungkin makin mahal gajinya). Oleh yang demikian kita semua sepatutnya mempunyai ilmu pengetahuan yang banyak dan tinggi supaya nilai kita tinggi. Kita jangan jadi barangan biasa yang berlambak-lambak tetapi harganya hampir tiada. Kita kena juga 'rare' (dengan izin) kata orang putih.



 
 
 

Comments


bottom of page