KENAPA PATIN TEMPOYOK KOME?
- Isma Nazom Abdul Hamid
- Sep 26, 2017
- 2 min read
PATIN = PANGIUS SUTCHI
TEMPOYOK (dialek Temerloh) = TEMPOYAK
KOME (dialek Temerloh) KITA
(dialek Perak maksudnya berbeza)
Bahasa Pahang mempunyai banyak lenggoknya. Sesetengah orang berpendapat bahawa ianya berbeza mengikut aliran Sg. Pahang. Orang-orang di Pantai Barat Semenanjung ramai menyangkakan loghat Pahang sama dengan Kelantan atau Terengganu. Hakikatnya bahasa Pahang loghat Temerloh amat unik dan sukar didapati serta payah ditiru kecuali oleh penutur jati (mother tongue) dengan izin. Kajian oleh pakar bahasa mendapati penutur loghat Temerloh didapati semakin berkurangan dan dikhuatiri akan pupus dalam masa 100 tahun lagi...Pohpaleh weh...
Bagi orang yang lahir, membesar dan tinggal di pesisiran Sg. Pahang (dan peka untuk mengambil tahu) Patin ada banyak jenis. Yang liar dan paling mahal PATIN MUNCUNG harganya mencecah RM350 sekilo mentah sangat jarang ditemui dan ada kemungkinan sudah pupus. Malangnya tiada orang yang ambil kisah nak menyiasat secara saintifik khazanah alam bernilai komersial ini. Assalamualaikum Fakulti Perikanan Samudera UPM, Selamat Sejahtera Jabatan Perikanan Malaysia, Ni Hao Ma LKIM, Vanakam nelayan-nelayan. Patin yang terkenal dijual sekarang berharga RM12 - RM20 sekilo ialah Patin peliharaan samada di dalam sangkar sungai atau kolam di darat. Ada juga PATIN BUAH berharga hampir RM200 sekilo. PATIN JUARA, PATIN LAWANG, PATIN PASIR, PATIN RANGKA merupakan spesis yang lain tapi harganya di bawah RM40 sekilo. Setiap dari Patin ini ada nama saintifiknya tetapi sengaja tidak ditulis disini bagi mengelak lidah terseliuh menyebutnya.
Tempoyok itu tempoyak lah. Sekarang harganya mahal. Ada yang beku dan ada yang segar. Hanya durian tertentu yang boleh dibuat tempoyak dan dibuat oleh orang tertentu juga. Ejaan Tempoyok itu bukan tersilap tetapi sengaja dibuat untuk mengekalkan gaya mutu dan keunggulannya. Tanpa tempoyok sapalah patin dan begitulah sebaliknya.
KOME bagi orang Temerloh ialah Kita. Bagi orang Perak maksudnya berbeza. Di Temerloh terdapat Mukim Perak. Mengikut sejarah terdapat kampung di Temerloh yang dibuka oleh orang-orang Perak. Arakian, tidak dapat lari bahasa Temerloh ada sedikit pengaruh Perak. Terdapat juga sdikit pengaruh dan bahasa Terengganu, Kampar, Minang, Bugis dan Jawa. Tak boleh cerita panjang sangat hal ni, takut jadi macam tulis jurnal atau tesis...




Comments