KERETAPI LAJU PANTAI TIMUR (ECRL)
- Isma Nazom Abdul Hamid
- Sep 26, 2017
- 2 min read
wOW!! Hebat bunyinya tajuk di atas. Terlopong mulut sehingga tak sedar tertelan empat ekor lalat. Ini bukan sebarang keretapi. Namanya sahaja sudah cukup gah. Pergerakan dari Kuala Lumpur ke Negeri Pantai Timur baik untuk penumpang mau pun barang-barang akan menjadi pantas. Etonamik ke? Itu kita tidak tahu sebab bukan kita buat kelajuan itu. Tadah sajalah telinga dengar propaganda orang di atas sana.
Yang pastinya projek ini sudah mula berjalan. Sebelum bermula nampak macam pendapat rakyat (yang nak bersuara) akan diambilkira akan tetapi apabila dilihat melalui sesi rundingan, pendapat rakyat cuma diambilkira dari segi perkara-perkara kecil sahaja. Yang besarnya iaitu adakah projek ini akan dijalankan setelah mendapat pandangan rakyat langsung tidak dipeduli. Sesi awalan cuma memberi apa yang hendak dibuat oleh kerajaan. Keputusan membina sudah dibuat sebelum pendapat rakyat diambil. Ianya hanya seolah mematuhi prosedur.
Begitulah bila kita menjadi rakyat. Buka telinga luas-luas, dengar kami nak cerita. Perkataan 'Rakyat' juga telah dianggap sebagai orang bawahan. Sebab itu ada ayat "Kerajaan akan bantu rakyat". Seolah-olah kerajaan lebih besar dari rakyat. Kalau dalam dialek Temerloh 'rakyat' boleh membawa erti lain pula. Mungkin perkataan rakyat patut ditukar kepada 'warga'. Nanti ahli bahasa naik angin pulak. Kerajaan ialah rakyat dan rakyat ialah kerajaan. ECRL tetap akan berjalan juga. Kita sama-sama tunggu.
Adakah jurutera kita tak pandai nak rekacipta keretapi elektrik sendiri? Kenapa import orang dari China? Ramai sudah pakar teknikal sudah kita lahirkan dan banyak juga wang telah digunakan bagi melatih kakitangan teknikal kita. Rupa-rupanya kita tak pandai lagi buat keretapi sendiri. Sia-sialah ilmu dan teknologi tinggi yang warga (rakyat) kita ada, rugilah wang mendidik mereka, terbazirlah masa menghantar mereka ke serata pelosok alam.
Apabila kita sudah mula memanggil orang dari negara China membuat keretapi elektrik di sini sehingga 27,000 orang, mereka akan membawa keluarga, bahasa, budaya, norma, nilai bangsa mereka ke sini. Ada pro ada kontra. Orang dari negara China dengan cina Malaysia nampak macam sama tetapi sebenarnya banyak berbeza. Orang-orang dari China ini akan tinggal lama di sini walaupun rel keretapi telah siap dan mula berkhidmat kerana gerabak-gerabak (KOC) keretapi akan ditukar setiap 7 tahun dan kita mesti menggunakan KOC buatan mereka supaya jaminan barangan dapat dikeluarkan. Segala peralatan akan diimport dari sana. Bahan-bahan binaan akan diimport dari sana. Wang pinjaman juga dari sana. Bayar balik ke sana. Mereka dapat gaji di sini bawa balik ke sana. Kita dapat naik keretapi laju bersambung ke sana. Kita boleh melancong ke sana. Segala-galanya ke sana maaa......Malaysia boleh ke sana?
Comments