PEKAN SEHARI TEMERLOH PADA USIA 1 ABAD
- Isma Nazom Abdul Hamid
- Oct 2, 2017
- 2 min read
Telah banyak diperkatakan bahawa Pekan Sehari Temerloh telah berusia lebih satu abad. Juga selalu dibualkan bahawa ia adalah Pekan Sehari paling panjang di Malaysia. Segala jenis keperluan terdapat di situ. Hasil tani kampung yang hanya terdapat di Temerloh boleh diperolehi di sini. Pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran yang jarang kelihatan akan muncul di situ. Juadah yang luar biasa juga akan timbul seminggu sekali iaitu pada setiap Ahad sepanjang tahun. Terdapat banyak juga barangan moden yang sesuai dengan keperluan semasa bergantung dengan kepelbagaian barang-barang organik Temerloh menyebabkannya menjadi Pekan Sehari paling unik dan ‘rare’ di Malaysia. Generasi muda mungkin tidak kenal buah taban, mencepu, ketapi, etak-etak, siput sedut, daun gehal, daun kaduk, ikan lemperas, ikan langli, ikan gahak dan beribu lagi senarai yang kalau dimasukkan di sini boleh melopong dan terus terlelap bila membacanya.
Ada cadangan bahawa warisan turun temurun tradisi Pekan Sehari Temerloh ini akan dikekalkan seperti sedia kala. Biarkan ia kekal begitu dan membesar dengan cara organik dan tersendiri. Harus diingatkan dunia dah makin maju. Di dalam era globalisasi ini, jangan dibiarkan makcik-makcik, pakcik-pakcik, wan-wan dan aki-aki berniaga beralaskan surat khabar lagi. Cuaca panas terik terpaksa dihadapi selama 5 jam sehari. Kenapa jadi begini? Sesuai dengan umur dah lebih satu abad, sepatutnya ia telah maju. Sistem parkir hancur. Saliran jika berlaku hujan amat mengecewakan. Bau-bauan hasil laut, ayam dan daging semerbak menerpa ke dalam hidung kerana sistem pencucian sampah kurang berkesan. Orang masih tetap ramai datang kerana namanya gah dan tradisinya telah lama kekal hingga ke anak cucu.
Satu langkah besar mesti diambil supaya tradisi ini dikekalkan tetapi dalam masa yang sama berbentuk mudah, cekap dan mesra pengguna. Sepatutnya kawasan itu dibangunkan dengan atap bagi melindungi keadaan cuaca, meja kekal (yang cantik, teguh, bersih) dibina, saliran air permukaan dibina semula, parkir kenderaan yang tersusun tetapi dalam masa yang sama mengenakan cukai berpatutan kepada peniaga. Laluan tersebut tetap dibuka kepada kenderaan seperti biasa pada hari-hari biasa. Jika peruntukan yang menjadi masalah, kenapa selama ini ianya tidak dibuat secara berperingkat. Biar mengambil masa sehingga 5 tahun pun, jika dibuat secara beransur-ansur ianya akan siap. Umur dah 100 tahun lebih, takkan nak tunggu 100 tahun lagi untuk dimajukan. Percayalah bahawa ia akan menjadi kebanggan kita semua dan ramai pelancong akan berkunjung ke sana. Sebagai orang biasa kita hanya mampu mencadangkan, menunggu dan menunggu walaupun wakil rakyat dari pelbagai parti silih berganti. Dengarlah rintihan kome rerodong weh…
Comments