RINTIHAN PENIAGA KECIL
- Isma Nazom Abdul Hamid
- Oct 7, 2017
- 2 min read
Suara peniaga kecil selalunya jarang kedengaran. Mereka sibuk mengusahakan perniagaan mereka sehinggakan sukar untuk membuat urusan lain. Mereka sibuk dan bekerja kuat walaupun untungnya ciput je. Risiko perniagaan kecil tinggi berbanding korporat yang sangat terancang. Perniagaan kecil seperti jahitan, fotostat, kedai kek, gunting rambut dan banyak lagi diperlukan setiap orang. Tanpa perniagaan kecil, banyak urusan harian akan menjadi sukar.
Malangnya majoriti mereka ini tidak ada berpelajaran tinggi, tidak mempunyai rangkaian perniagaan, kurang pengalaman, perniagaan diuruskan seorang diri, bergantung kepada perniagaan dengan kerajaan, bertatih untuk maju, sukar mendapat pinjaman dan seribu satu alas an. Penat jerih kepayahan berniaga cuma diketahui oleh mereka yang berpengalaman dalam bidang ini. Cuba bayangkan seorang penjual air tebu yang tersedia dengan kelengkapannya untuk berniaga tiba-tiba hujan lebat. Hilanglah fulus. Ada juga yang sedang berniaga tiba-tiba angin kuat rebut petir datang, mereka berpaut pada paying gerai mereka di dalam cuaca sebegitu. Panas terik membahang juga merupakan cabaran. Untung belum tentu. Ada juga yang berkedai kecil tetapi hasil jualan tenat. Duduk termenung dan kedai mesti dibuka setiap hari sebab merekalah bos, merekalah kuli. Kalau tidak berniaga lagilah teruk jadinya. Sewa, air, elektrik, gst semua nak bayar.
Ada yang bertanya kalau dah tau susah kenapa nak berniaga?? Hahaha!! Janganlah Tanya soalan begitu sebab ada banyak jawapan yang akan di terima yang pentingnya kita kena memahami bahawa peniaga kecil ini memang diperlukan dalam rantaian ekonomi kita. Pening kita kalau dibuatnya tiada tukang gunting, tukang kunci, tukang jahit, tukang rumah, tukang cuci kereta, tukang ………………….
Bagaimana nak membantu mereka? Mana ada jalan singkat dalam hal ini. Ianya merupakan satu proses berterusan yang memerlukan dokongan banyak pihak. Kalau setakat tulis satu dua cadangan di ruangan terhad ini tidak akan menyelesaikan masalah malah menjemput polemik sesama kita.
Itulah pentingnya diwujudkan satu kumpulan pemikir (think tank) di Temerloh khasnya bagi mengambil langkah-langkah proaktif. Mereka akan turun padang dan membuat kajian juga analisa lalu dijadikan perancangan seterusnya. Tapi jangan simpan terperuk dalam meja yang akhirnya reput ditelan usia. Seseorang yang berkarisma tinggi diperlukan untuk memimpin perkara ini.
Comments